KUALA LUMPUR: Remy Ishak, menegaskan ikatan pertunangannya dengan ahli perniagaan, Ezza Yusof, belum terlerai dan hubungan mereka juga masih baik.
"Saya masih tunangan orang. Itu saja perkembangan boleh saya kongsi. Hubungan saya belum lagi sampai ke tahap lebih tinggi, jadi saya tidak mahu bercakap banyak, risau nanti kalau tak jadi, tak seronok.
"Saya juga masih dalam proses mengenali dirinya. Pertunangan adalah tempoh untuk pasangan mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat, jadi sudah tentu ia ada cabarannya tersendiri," katanya.
Remy, yang sememangnya dikenali sebagai artis yang tidak gemar bercakap mengenai hal peribadi, berkata demikian ketika mengulas desas-desus pertunangannya dengan wanita terbabit sudah terlerai.
Remy atau nama penuhnya Mohamad Zalimie Ishak, 35, dan Ezza mengikat tali pertunangan pada Mei lalu.
Pelakon filem Redha itu turut mengakui belum mempunyai tarikh untuk menaiki pelamin.
"Kami belum ada tarikh untuk berkahwin. Tahun depan atau bukan, itu pun saya belum pasti. Tengoklah, kalau setahun belum dirasakan okey, saya akan panjangkan lagi tempohnya. Persiapan juga belum dimulakan lagi.
"Jika ada rezeki, saya akan kongsi berita gembira dengan semua orang, cuma bukan sekarang kerana banyak rintangannya. Saya sendiri kalau boleh, tidak mahu terlalu mendedahkan pasangan saya. Biarlah saya seorang yang menjadi selebriti," katanya ketika ditemui selepas Anugerah Skrin (ASK) 2017 berakhir.
Pada acara terbabit, beliau pulang dengan trofi Remy sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama, hasil lakonannya dalam karya arahan Erma Fatima, Pesan Dari Tuhan.
Berkongsi perasaannya mengenai kejayaan pada ASK kali ini, Remy berkata, beliau tidak menyangka dapat menewaskan empat calon yang dianggapnya lebih berpengalaman.
"Melihat pada pencalonan, iaitu Fauzi Nawawi, Rahim Omar, Namron dan Aqasha, saya sememangnya tak menjangkakan akan menang. Sampai sekarang tak percaya saya menang sebab mereka lebih senior daripada saya.
"Mungkin impak watak antagonis saya dalam Pesan Dari Tuhan menarik perhatian juri. Secara peribadinya, karakter saya dalam drama itu memang menguji kemampuan diri kerana saya seorang pelakon yang lebih selesa dengan watak romantis.
"Apabila Erma meminta saya menjayakan watak antagonis, saya marah. Jadi, kemarahan saya dalam drama ini sebenarnya adalah untuk Erma," katanya sambil ketawa.
Bagaimanapun, Remy berterima kasih pada sutradara terbabit kerana mempercayai keupayaannya untuk menampilkan sisi lakonan berbeza, meskipun baginya, pengalaman beliau belum mencukupi untuk menghidupkan watak sedemikian.
Terkini, Remy sedang menjayakan penggambaran drama bagi slot Akasia, Kekasih Paksa Rela, bersama Intan Najwa dan Fizz Fairuz.
Kemudian, Remy akan berangkat ke Batam, Indonesia, bagi menjayakan sebuah filem bercorak seram, yang belum dapat dikongsi judulnya.
Sumber Saya masih tunangan orang - Remy Ishak
0 Response to "Saya masih tunangan orang - Remy Ishak"
Post a Comment