Kontraktor gagal menyiapkan projek prasarana itu mengikut tempoh kontrak walaupun selepas 4 kali tarikh tamat dilanjutkan.
DEWAN RAKYAT
PETALING JAYA: Projek prasarana untuk Kementerian Pertahanan bagi menempatkan helikopter EC725 di pangkalan tentera udara Kuantan gagal disiapkan, lapor Laporan Ketua Audit Negara 2016.
Laporan itu turut melaporkan kontrak kontraktor bertanggungjawab ditamatkan 8 Disember tahun lepas.
“Projek pembinaan ini adalah tidak memuaskan kerana berlaku beberapa kelemahan yang menjekaskan kecekapan pelaksanaan projek seperti jawatankuasa penilaian tender telah mengesyorkan syarikat yang tidak menepati ‘needs statement’, pengurusan pentadbiran kontrak yang lemah, kecatatan kerja pembinaan dan pemasangan peralatan, dan kegagalan menyiapkan projek dalam tempoh kontrak yang dtetapkan.
“Kegagalan menyiapkan projek pembinaan ini menyebabkan pesawat EC725 kini ditempatkan buat sementara di ‘alert hangar’ dan hangar 17 Skuadron, Pangkalan Udara (PU) TUDM Kuantan. Manakala pegawai dan kakitangannya terpaksa menumpang di bangunan lain di beberapa lokasi sementara dalam PU Kuantan,” menurut laporan itu.
Proses tender akan dilakukan semula untuk menyiapkan projek itu.
Siri ke-2 Laporan Ketua Audit Negara 2016 dibentang di Dewan Rakyat hari ini.
Kementerian merancang projek itu pada 2010 bertujuan untuk pengoperasian, penyenggaraan dan penempatan serentak dengan pembelian helikopter EC725.
Sejumlah 12 pesawat bernilai RM1.43 bilion diterima secara berperingkat bermula Disember 2012 hingga Mei 2014. Lapan pesawat ditempatkan di Kuantan manakala 4 di Labuan.
Proses tender terbuka, menggunakan kaedah reka dan bina, dijalankan antara 31 Mac 2011 dan 6 Jun 2011, dan syarikat Bella Builders Sdn Bhd (BBSB) berjaya mendapat tender itu.
Kontrak bernilai RM108.89 juta, dengan tempoh kontrak bermula 11 Oktober 2011 hingga 11 Mac 2013 untuk penyiapan separa, dan 14 Ogos 2014 untuk penyiapan penuh.
BBSB diberi 3 lanjutan tempoh untuk penyiapan separa, sehingga 22 Mei 2014, dan 1 lagi lanjutan untuk penyiapan penuh dengan jangkaan siap pada 31 Januari 2014.
Bagaimanapun, laporan itu menyatakan BBSB gagal menyiapkan kerja mereka selepas tamat tempoh lanjutan itu, kerana pertikaian mengenai reka bentuk hangar.
“Keseluruhan kemajuan nilai kerja pada tarikh sepatutnya siap iaitu selepas EOT ke tiga pada 22 Mei 2014 adalah 70.7%,” menurut laporan itu.
Bagi menyiapkan projek prasarana sepenuhnya, ketua audit negara mengesyorkan penilaian tender terhadap keupayaan kontraktor untuk melaksanakan projek pembinaan dilakukan dengan teliti.
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
Sumber Audit: Projek helikopter EC725 gagal siap dalam tempoh ditetapkan
0 Response to "Audit: Projek helikopter EC725 gagal siap dalam tempoh ditetapkan"
Post a Comment