PENGAKUAN MANGSA 1
KUALA LUMPUR – Hanya beberapa saat, wang dalam simpanan dikeluarkan selepas maklumat peribadi diberikan.
“Menang RM500,000 tapi kena bank in duit dulu” – Ini kisah mangsa yang terpedaya dengan scam penipuan
Itu pengalaman seorang mangsa scam, Alia Adalan, 25, setahun lalu yang menerima panggilan mendakwa dari sebuah syarikat minuman popular memaklumkan kemenangan RM20,000.
Alia yang bekerja di sektor swasta berkata, ketika itu dia tidak mengetahui panggilan yang diterimanya adalah sindiket scam dan memberikan kerjasama untuk menebus wang kemenangan.
“Dia minta nombor akaun, pengesahan maklumat peribadi serta gambar kad bank untuk rujukan.
“Lepas menamatkan panggilan, saya terima sistem pesanan ringkas (SMS) dari CIMB memaklumkan yang RM100 dari akaun saya telah dikeluarkan,” katanya.
Panik dengan situasi tersebut, dia terus menghubungi pihak bank meminta akaun bank tersebut diaktifkan sementara.
“Sebab dalam akaun ada dalam RM300, memang untuk perbelanjaan harian sementara menunggu gaji.
“Untuk tujuan keselamatan, saya menukar kad bank,” katanya.
Katanya, dia turut menerima SMS dan mesej dari aplikasi WhatsApp dan modus operandi adalah sama iaitu menawarkan hadiah wang tunai.
“Lepas dah kena scam saya jadi lebih berhati-hati dan ada juga terima panggilan sama tapi tak layan.
“Harap sistem keselamatan dan maklumat peribadi pelanggan diperketat kerana ada yang menjual nombor pelanggan kepada individu luar atau syarikat yang tak dipastikan menyebabkan kita terima banyak panggilan.
“Ia termasuk panggilan dari pihak bank yang menawarkan insurans,” katanya
PENGAKUAN MANGSA 2
Suri rumah nyaris ‘lebur’ RM3,000
PUCHONG – “Saya nyaris-nyaris nak masuk duit ke dalam akaun sindiket itu tapi saat akhir tiba-tiba hati tergerak kata ia satu penipuan,” kata suri rumah Bee, 47 yang hampir ditipu kononnya akan menerima wang sebanyak RM500,000 daripada rakan kongsi dikenali menerusi alam maya.
Mengimbas kembali kejadian berlaku April lalu, Bee berkata, dia mula mengenali seorang lelaki bernama William menerusi sistem pesanan di akaun laman sosial miliknya.
Selepas memberitahu dia sudah berkahwin, lelaki terbabit mula menceritakan kisah sedihnya dan mengatakan dia seorang bapa tunggal yang kematian isteri akibat ditembak.
“William bagi tahu dia dari London dan bercadang nak buka kilang di Malaysia. Dia kata nak bawa dua anaknya yang beragama Islam ke sini…dia minta saya bantu carikan tanah sesuai untuk bina kilang dan jadikan saya rakan kongsiperniagaannya.
“Bila dengar cerita dia saya mula percaya tapi masa tu minta masa untuk bincang dengan suami dulu,” katanya.
Bee berkata, selepas terpengaruh dengan cerita William, dia kemudian memberikan nombor telefon untuk memudahkannya berhubung menerusi sistem aplikasi WhatsApp.
Katanya, dia siap pergi ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk mengambil borang bagi pendaftaran syarikat.
“Saya bagitahu kepada William kos urusan semua hampir RM8,000 dan tanya bila dia nak datang ke negara ini. Selepas tiga hari William kata dia dah masukkan wang sebanyak RM500,000 ke dalam akaun bank saya,”katanya lelaki terbabit kemudian menghantar gambar didakwa slip deposit wang.
Menurut Bee dia benar-benar percaya wang dimasukkan ke akaun bank miliknya kerana slip itu seolah-olah asli.
“Tapi hati saya tiba-tiba jadi tak sedap bila ada seorang wanita hubungi bagitahu duit kena ‘hold’ dan perlu masukkan duit sebanyak RM3,050 dalam satu akaun bank milik lelaki tempatan untuk keluarkan semuanya.
Selepas beberapa jam katanya, William menghubunginya dan bertanya kenapa tidak masukkan wang ke dalam akaun lelaki tersebut dan mula marah-marah bila dia mendakwa ia satu penipuan.
“William hubungi saya guna nombor luar negara, wanita terbabit pula guna nombor tempatan, sebab tu saya rasa curiga. Rasa was-was makin menebal bila lelaki tu marah-marah,” katanya.
PENGAKUAN MANGSA 3
Panggilan dari ‘IPD Putrajaya’
SHAH ALAM – Pelik ! Bekerja di Shah Alam tapi didakwa terlibat dalam kejadian langgar lari di Pulau Pinang.
Itulah ‘nasib’ yang perlu dihadapi seorang lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Iwan, 34 tahun yang nyaris menjadi mangsa penipuan scam baru-baru ini.
Dia yang ketika itu sedang sibuk menguruskan tugasan seorang pelanggan di sini terkejut apabila mendapat ‘panggilan’ telefon daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya yang kononnya mengaku sebagai pegawai yang mahu hadir ke balai memberi keterangan.
Dia yang terpinga-pinga itu terus melayan panggilan berkenaan sebelum talian disambungkan ke IPD Pulau Pinang yang dijawab seorang wanita.
“Saya sedang bekerja dan mana mungkin berada di Pulau Pinang dalam masa yang sama. Pegawai itu mendakwa saya melanggar orang dan perlu beri kenyataan di daerah sana. Saya menafikan terlibat.
“Saya pada mulanya tak ragu-ragu sehinggalah pelik apabila pegawai itu silap menyebut nama penuh saya. Dan dia siap cakap supaya jangan ada orang sekeliling untuk rakam keterangan. Agak kelakar jugaklah.
“Lepas tu, dia mahu saya bekerjasama penuh dan bertanya adakah boleh ke Pulau Pinang sekarang.
“Mestilah tak boleh saya katakan dan bukan boleh terbang,” ceritanya kepada Sinar Harian.
Tambah Iwan, kesnya itu pula akan dirujuk oleh pegawai penyiasat kerana mangsa yang dilanggar kini ditempatkan di unit rawatan kecemasan (ICU).
“Saya dah mula meninggi suara dan berang kerana semakan kad pengenalan didapati kononnya terlibat penyeludupan dadah dan penggubahan wang haram .
“Lagi pelik, dalam akaun bank saya dikatakan ada RM2.8 juta dan telah dimasukkan seseorang,” katanya.
Kata Iwan, dalam sejarah hidup dia tak pernah kehilangan kad pengenalan dan pegawai itu beritahu saya mungkin dipenjara atas kesalahan sebab bersubahat dengan tiga lagi lelaki yang sudah ditahan polis.
“Yang meragukan, saya kena bayar ikat jamin kat mahkamah Pulau Pinang dalam masa sejam dan bayaran boleh dibuat secara online. Apabila saya cakap mahu ‘serah’ di di IPD Shah Alam dan boleh tahan disana, talian terus diputuskan.
“Selepas itu, saya terus telefon kembali nombor berkenaan dan dijawab anggota IPD Putrajaya yang mengesahkan perkara ini adalah scam dan saya hampir jadi mangsa penipuan,” katanya.
Sumber: Sinar
Sumber “Menang RM500,000 tapi kena bank in duit dulu” – Ini kisah mangsa yang terpedaya dengan scam penipuan
0 Response to "“Menang RM500,000 tapi kena bank in duit dulu” – Ini kisah mangsa yang terpedaya dengan scam penipuan"
Post a Comment