Alam Sedang Merintih Terseksa Dalam Filem mother!

mother! arahan Darren Aronofsky menampilkan Jennifer Lawrence, Javier Bardem, Ed Harris dan Michelle Pfeiffer merupakan sebuah psychological horror yang pelik.

Ada yang mengaitkannya sebagai sebuah pengalaman surreal ala Buñuel seperti yang dijeritkan seorang pengkritik semasa menonton filem ini di Venice dan hal ini dicatatkan Robbie Collin dalam The Telegraph semasa menulis kritik tentang mother!

Ada pula yang melihat mother! sebagai memiliki pengaruh Rosemary’s Baby dan Repulsion oleh Roman Polanski. Namun, hal berkaitan pengaruh dan mempengaruhi ini bukan hal baru dan ini juga sebahagian daripada usaha menghidupkan filem itu sendiri.

Saya seorang penonton yang sukar untuk menonton filem ketika tayangan lewat malam kerana saya sukar menghadam hal-hal yang berkaitan ketika waktu ini, namun itu tidak berlaku semasa menonton mother!. Malah filem ini membuatkan saya terpaut sehingga ke hujung dan memberikan pengalaman baru dalam menonton wayang.

mother! seperti yang dicakapkan ramai ialah alegori tentang pertentangan manusia melawan alam. Mother itu sendiri ialah Mother-Nature, alam yang kita sedang hidup dan tinggal kini. mother! memberikan kita kesedaran tentang bagaimana alam itu sedang sakit dan menanggung penderitaan akibat tangan-tangan kita sendiri.

mother! bermula sebagai sebuah kiasan melalui kepercayaan agama kita sendiri, bagaimana Adam dan Hawa itu datang ke bumi dan mempunyai anak kemudian timbul kerosakan demi kerosakan apabila semakin ramai yang menghuni dunia. Kesesakan dunia yang digambarkan juga sangat mencengkam dan memberikan kita pemahaman tentang kesakitan yang dialami dunia itu sendiri.

Lebih menarik terdapat satu ketika, kita merasakan seperti mahu menjerit, ‘Kenapa tiba-tiba semua jadi macam ni?” Kerana berlaku pelbagai masalah dunia di dalam rumah yang dihuni itu. Pelarian, kebuluran, peperangan, pergaduhan atas nama agama dan sebagainya. Jadi jeritan kita itu sebenarnya ialah hakikat yang dicakapkan diri sendiri apabila melihat konflik-konflik di seluruh dunia.

mother! bukanlah sebuah filem-filem seram yang selalu kita jangkakan. Jadi jangan menaruh kepercayaan terhadap soal seram konvensional. Ini tidak ada pada mother!

Bermula di tempat ia berakhir dan berakhir di tempat ia bermula jadi konsep kemusnahan alam itu berulang-ulang sehingga kita tidak tahu bila akan ada penamatnya. Kerja kamera filem ini juga sangat baik dengan pandangan mata dari mother itu sendiri menggerakkan keseluruhan filem itu.

Filem ini dari kaca mata alam yang sedang merintih dan menanggung seksa yang terlalu banyak kerana telah terlalu lama memberi kita muka dan menumpang di rumahnya.

Daniyal Kadir



Sumber Alam Sedang Merintih Terseksa Dalam Filem mother!

Related Posts :

0 Response to "Alam Sedang Merintih Terseksa Dalam Filem mother!"

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect