RANTAU PANJANG: Lima calon berusia 24 hingga 37 tahun antara 100 pelajar yang menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gual Periok, di sini, hari ini.
Kesemua calon terbabit yang bekerja dengan Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) mengambil ujian PT3 bagi tujuan mendapatkan keputusan lebih cemerlang dengan lulus subjek Bahasa Melayu (BM).
Faizul Abdul Rahman, 37, seorang calon persendirian PT3 di sekolah terbabit mengakui berasa teruja dan gemuruh untuk mengambil ujian memandangkan dia sendiri sudah begitu lama meninggalkan dunia persekolahan.
Bagaimanapun, dia bersama empat rakan lain tetap bersemangat walaupun ada ketika berasa lucu memandangkan umur mereka agak berusia untuk menduduki ujian PT3.
Faizul Abdul Rahman (kiri) antara lima calon persendirian yang menduduki ujian PT3 di SMK Gual Periok.
"Kami semua nekad untuk mengambil ujian ini bagi memenuhi syarat kerja yang perlu lulus untuk subjek BM bagi tujuan melancarkan lagi urusan kerja serta memperbaiki kelulusan kami.
"Pada awalnya kami hanya ingin mengambil ujian untuk BM saja namun memandangkan syarat untuk mengulangi PT3 perlu menjalani semua subjek asas lain iaitu Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Islam, Sains dan Kemahiran Hidup Bersepadu, kami reda dan sahut cabaran untuk menjawabnya.
"Sebentar tadi kami baru sahaja selesai menjawab untuk kertas BM. Alhamdulillah semua berjalan lancar walaupun keadaan di dalam dewan terasa sedikit pelik dengan kehadiran kami berlima sebagai calon yang sedikit berumur," katanya ketika ditemui BH di luar dewan SMK Gual Periok, di sini, hari ini.
Seramai 100 calon PT3 mengambil ujian di SMK Gual Periok termasuk lima calon persendirian bermula hari ini sehingga Khamis.
Faizul yang juga bapa kepada dua anak turut berkongsi cerita membuat ulangkaji sebelum menghadapi PT3 dengan bantuan saudara-mara dan jiran yang masih bersekolah.
"Ketika mengambil keputusan untuk mengambil ujian ini, timbul juga rasa sedikit malu memikirkan umur yang sudah berusia namun saya berfikiran positif dan menghadapinya memikirkan kepentingan ilmu serta peluang untuk memperbaiki sijil saya," katanya.
Sumber 5 kakitangan MDPM duduki PT3
0 Response to "5 kakitangan MDPM duduki PT3"
Post a Comment