PUTRAJAYA: “Saya mengaku bertanggungjawab atas kerugian urus niaga mata wang asing negara yang berlaku sekitar tahun 1986 hingga 1993,” kata Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.
“Saya mengaku bertanggungjawab kerugian BNM” – Tan Sri Nor Mohamed Yakcop
Bekas penasihat Bank Negara Malaysia (BNM), Nor Mohamed berkata demikian ketika memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Bagi Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar 1990-an, di sini semalam.
Nor Mohamed yang juga saksi ke-17, juga tidak menafikan bertanggungjawab ke atas kerugian urus niaga mata wang asing itu, malah turut meletakkan jawatan daripada BNM selepas itu.
“Kerugian urus niaga mata wang asing memang berlaku. Tidak ada penafian mengenainya.
“Pada waktu itu, insiden berkenaan (kerugian urus niaga mata wang asing) adalah pengakhiran sedih kepada perkhidmatan saya selama 25 tahun kepada negara, melalui BNM,” katanya yang juga bekas Menteri Kewangan Kedua.
Bagaimanapun, Nor Mohamed berkata, beliau tidak mengingati keuntungan dan kerugian dalam urus niaga mata wang asing dari 1986 hingga 1993.
Katanya, beliau juga tidak pernah berbincang dengan Menteri Kewangan ketika itu (Tun Daim Zainuddin menjadi Menteri Kewangan dari tahun 1986 hingga 1993 sebelum diganti Datuk Seri Anwar Ibrahim hingga 1998) mengenai urus niaga mata wang asing yang dijalankan oleh BNM.
“Saya tidak pada bila-bila masa berbincang dengan Perdana Menteri (ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad) mengenai urus niaga itu antara tahun 1986 hingga 1993,” katanya pada prosiding suruhanjaya siasatan yang masuk hari kelima, hari ini.
Bagaimanapun, Nor Mohamed mempertahankan pengalamannya dalam urus niaga mata wang asing sepanjang tempoh itu, berjaya membantu menyelamatkan negara daripada krisis kewangan teruk pada 1997/1998.
“Jika tidak, (akibat krisis kewangan 1997/98) negara mungkin mengalami kerugian ratusan bilion ringgit, menyebabkan banyak syarikat muflis, kadar pengangguran dan kemiskinan meningkat di seluruh negara.
“Malah, kestabilan politik dan kerangka sosio-ekonomi negara juga boleh musnah,” katanya.
Nor Mohamed turut memberitahu, keputusan BNM untuk memulakan pengurusan rizab luar secara aktif bertitik tolak daripada insiden Plaza Accord.
Beliau berkata pada 1985, lima negara anggota Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) bertemu di Plaza Hotel, New York, Amerika Syarikat (AS) dan membuat keputusan tanpa berunding dengan negara lain untuk mengukuhkan mata wang Yen dan Jerman, berbanding Dolar AS.
Perkara itu menyebabkan kebanyakan negara membangun mengalami kerugian besar.
“Sejak insiden Plaza Accord, pasaran mata wang asing dunia mula bergolak, dengan kenaikan dan pergerakan yang tidak menentu dalam urus niaga harian.
“Selain itu, pada awal 1980-an, kebanyakan pinjaman dibuat kerajaan dalam bentuk mata wang Yen adalah bagi pembinaan infrastruktur, kerana pada ketika itu, bon serta pasaran sukuk negara belum matang untuk membolehkan kerajaan melakukan pinjaman besar dalam Ringgit,” katanya di hadapan lima panel diketuai Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Yang turut menganggotai suruhanjaya itu ialah Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wira Kamaludin Md Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, Datuk Seri Tajuddin Atan; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Tan Sri Saw Choo Boon dan Ahli Institut Akauntan Malaysia, K Pushpanathan.
Suruhanjaya itu ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid, bahawa bank pusat berkenaan kerugian lebih AS$10 bilion pada awal 1990-an dalam perdagangan mata wang asing ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.
Prosiding di hadapan suruhanjaya siasatan bersambung esok.
Sumber: Bharian
Sumber “Saya mengaku bertanggungjawab kerugian BNM” – Tan Sri Nor Mohamed Yakcop
0 Response to "“Saya mengaku bertanggungjawab kerugian BNM” – Tan Sri Nor Mohamed Yakcop"
Post a Comment