AFC sekali lagi menunda aksi kelayakan Piala Asia 2019 antara Korea Utara dan Malaysia ekoran larangan perjalanan baru yang dikeluarkan kerajaan Malaysia, hari ini. — Foto ReutersKUALA LUMPUR, 28 Sept – Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sekali lagi menunda aksi kelayakan Piala Asia 2019 antara Korea Utara dan Malaysia, berikutan larangan perjalanan baharu yang dikeluarkan kerajaan Malaysia, hari ini.
AFC berkata status perlawanan Kumpulan B berkenaan, iaitu aksi pusingan kelayakan akhir Piala Asia 2019 yang dijadual pada 5 Okt di Pyongyang itu, akan diputuskan jawatankuasa pertandingan secepat mungkin.
“AFC hari ini dimaklumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bahawa Kementerian Luar Malaysia telah mengeluarkan larangan perjalanan terhadap rakyat Malaysia ke Korea Utara.
“Berikutan maklumat itu, AFC telah menangguhkan perlawanan antara Korea Utara dan Malaysia, yang dijadualkan di Pyongyang pada 5 Okt ini. AFC akan merujuk perkara itu kepada jawatankuasa berkaitan bagi menentukan status terbaharu perlawanan berkenaan,” kata AFC dalam satu kenyataan.
Kementerian Luar pada awal hari ini mengumumkan larangan perjalanan itu, berikutan ketegangan memuncak di Semenanjung Korea, termasuk berhubung ujian peluru berpandu balistik oleh Pyongyang, yang menarik perhatian dunia di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), baru-baru ini.
Perlawanan berkenaan pada mulanya dijadual 28 Mac di Pyongyang, dan kemudian ditunda ke 8 Jun oleh AFC, ekoran hubungan diplomatik yang tegang berikutan kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Lapangan Terbangan Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 13 Feb 2017.
Berikutan hubungan tegang itu, perlawanan tersebut sekali lagi ditunda kepada 5 Okt, iaitu lima hari sebelum skuad negara akan berdepan Hong Kong pada 10 Okt.
Skuad Harimau Malaya yang memulakan kempen kejohanan itu dengan kekalahan 1-2 kepada Lubnan pada 13 Jun lepas di Stadium Larkin, Johor Baharu, sebelum seri 1-1 menentang Hong Kong di Stadium Hang Jebat di Melaka pada 5 Sept lepas, kini menghuni tangga tercorot Kumpulan B dengan satu mata.
Lubnan mendahului carta kedudukan Kumpuan B dengan tujuh mata, diikuti Korea Utara dan Hong Kong, yang masing-masing berkongsi dua mata, namun dipisahkan dengan perbezaan gol.
Berbaki empat perlawanan, anak buah Nelo Vingada perlu memastikan berada di kedudukan dua teratas dalam kumpulan berkenaan untuk layak beraksi pada Piala Asia 2019 yang akan berlangsung di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 5 Jan hingga 1 Feb.—Bernama
Sumber AFC tunda lagi aksi Korea Utara-Malaysia
0 Response to "AFC tunda lagi aksi Korea Utara-Malaysia"
Post a Comment