Bengang tak dapat duit, anak tetak dan libas bapa sendiri sampai mati

Hanya kerana permintaan untuk mendapatkan wang tidak dilayan, seorang pemuda tergamak menetak dan melibas bapa kandung dengan parang panjang sehingga menemui ajal, di rumah mereka di Batu 4 1/2 Jalan Padang Melangit, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 7.40 pagi itu, mangsa Amran Ariffin, 53, seorang kontraktor, maut dalam keadaan mengerikan apabila parah di perut, tangan kanan dan belakang badan akibat ditetak dengan senjata itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Azahar Muda berkata, siasatan pihaknya mendapati, suspek berusia 24 tahun itu baru pulang dari menetap di Kuala Lumpur, kelmarin.

“Mangsa dipercayai baru pulang dari Kuala Lumpur pagi kelmarin selepas berhenti kerja sebagai pembantu di sebuah pasar raya.

“Suspek yang duduk di rumah neneknya di kawasan berhampiran datang ke rumah bapanya pada petang semalam (kelmarin) untuk meminta wang, namun mangsa tidak melayannya,” katanya ditemui di lokasi kejadian semalam.

Menurut Azahar, pada pagi semalam suspek dikatakan datang semula ke rumah bapanya untuk tujuan sama.

Katanya, selepas permintaannya ditolak oleh mangsa, suspek berang dan bertengkar di dalam rumah sebelum melarat ke pergaduhan hingga menyebabkan mangsa mati ditetak.

“Hasil siasatan terhadap suspek, dipercayai dia memang berniat untuk melakukan pembunuhan kerana pada pertemuan awal, selepas hajatnya ditolak, mangsa pergi ke kedai perkakas untuk membeli sebilah parang.

“Jika diteliti, pagi ini (semalam) suspek sudah berniat untuk melunaskan hajatnya untuk membunuh bapanya jika hajatnya ditolak. Namun, kita masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Azahar berkata, suspek berjaya ditahan kira-kira jam 8 pagi di rumah neneknya kira-kira 60 meter dari lokasi kejadian dan dia didapati cedera dipercayai cuba membunuh diri dengan menikam badannya sendiri selepas membunuh bapanya.

“Suspek yang dipercayai penagih dadah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan kita akan melakukan ujian air kencing terhadapnya. Namun, dia tiada rekod jenayah lampau,” katanya.

Beliau berkata, suspek anak kedua daripada tiga beradik, manakala mangsa bercerai dengan isteri dan berkahwin lain.

“Ketika kejadian ibu tiri dan adik tirinya berada dalam rumah itu. Kita masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

 

Sumber: Harian Metro



Sumber Bengang tak dapat duit, anak tetak dan libas bapa sendiri sampai mati

Related Posts :

0 Response to "Bengang tak dapat duit, anak tetak dan libas bapa sendiri sampai mati"

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect