Bekas menteri undang-undang berharap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara akan menjadi perdana menteri menjelang 2020.
Datuk Zaid Ibrahim berkata demikian selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan semakan kes oleh Anwar, dalam cubaan terakhirnya untuk membersihkan diri daripada sabitan tuduhan liwat.
“Saya harap beliau menjadi perdana menteri menjelang 2020. Saya memilih tarikh itu kerana ia dipilih Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai tahun negara mencapai status negara maju,” katanya dalam satu catatan blog hari ini.
Hari ini di mahkamah, Zaid sempat bertemu Anwar dan meyakinkan ahli politik itu “perjuangan akan diteruskan. Najib (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) tidak boleh lari jauh.”
Katanya ketua umum PKR itu ditakuti Umno-BN kerana beliau seorang pejuang yang tekal dan kental.
“Kita masih belum mampu menjadi sebuah negara, apatah lagi negara maju, tapi elok juga kalau kita mulakan perjalanan itu pada 2020 nanti bersama Anwar sebagai perdana menteri.”
Zaid akui pensabitan dan pemenjaraan Anwar tidak melayakkannya menjadi perdana menteri selepas pilihan raya umum nanti.
“Tetapi seseorang akan dilantik perdana menteri sementara dan seseorang itu pilihan Anwar. Saya percaya Tun Dr Mahathir Mohamad akan bersetuju dengan pilihan itu.”
Zaid menjelaskan calon tersebut seseorang yang diyakini untuk memimpin negara buat sementara waktu, dan boleh meningkatkan peluang pakatan pembangkang dalam pilihan raya umum nanti.
“Perdana menteri sementara itu boleh jadi isterinya, anak perempuannya, bekas musuh ketat, atau sesiapa sahaja dalam parti pembangkang.
“Hanya satu nama yang ditolak rakyat iaitu Hadi Awang (presiden PAS).”
Sumber: Free Malaysia Today
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Response to "Seorang calon dipersetujui Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir akan dilantik PM sementara"
Post a Comment