Mesin kiosk Maybank ditendang gara-gara panik lewat tukar kad

Pemegang kad debit dinasihatkan tidak panik dengan khabar angin kononnya akan dikenakan penalti RM12.70 jika tidak menukar kad selepas 18 Disember.

Susulan salah faham itu, cawangan-cawangan Maybank diserbu orang ramai yang bimbang akan dikenakan penalti sekiranya tidak berbuat demikian.

Mesin kiosk Maybank ditendang gara-gara panik lewat tukar kad

Mesin kiosk Maybank ditendang gara-gara panik lewat tukar kad

Sebuah cawangan bank utama itu di Shah Alam, Selangor mengakui “tidak menang tangan” melayan orang ramai yang ingin menukar kad sejak awal minggu ini.

“Dalam sehari sebanyak 250 kad baru dikeluarkan kepada pelanggan yang beratur di kaunter khidmat pelanggan cawangan kami,” kata seorang kakitangan di cawangan AEON Mall.

“Itu tidak termasuk yang menggunakan mesin kiosk. Stok kad yang disediakan dalam mesin sebanyak 4,000 dan ia habis dalam masa dua hari.”

Tambahnya, orang ramai beratur panjang dari awal 9 pagi sebelum bank mula beroperasi hingga premis pusat beli-belah itu tutup pukul 10 malam.

“Keadaan agak kelam-kabut. Ada juga pelanggan yang marah-marah dan mengadu masalah sistem, ada juga yang menyepak mesin kiosk dan menyalahkan pihak bank.

“Sedangkan pelanggan sudah dimaklumkan lama melalui SMS, emel dan media sosial tentang pertukaran kad,” kata kakitangan itu ketika dihubungi ProjekMMO semalam.

Katanya lagi, Maybank sejak dua bulan lalu mengambil inisiatif membuka kaunter pada Sabtu untuk menukar kad dari pukul 10 pagi hingga 2 petang.

Berikutan itu, Maybank menjelaskan makluman yang tersebar di laman sosial, termasuk di Facebook, berhubung penalti RM12.70 tidak tepat.

Jelasnya, semua pemegang kad ATM atau debit digalakkan menukar kad sebelum 18 Disember bagi mengelakkan kesulitan, terutama kesibukan musim perayaan bulan ini.

“Tidak ada sebarang caj dikenakan bagi penukaran kali pertama,” kata bank itu.

Pelanggan boleh menukar kad melalui laman web Maybank2u, kiosk penukaran atau cawangan Maybank di seluruh negara, tambah bank terbesar itu di Facebook, kelmarin.

Bermula 1 Januari, pengguna kad akan dikenakan caj RM12 untuk pertukaran kad baru. Namun, pelanggan boleh mengeluarkan wang di ATM walau masih memegang kad lama.

Selain Maybank, bank-bank lain termasuk bank kedua terbesar negara CIMB turut diserbu pelanggan untuk menukar kad.

Bank Negara Malaysia menyarankan pengguna beralih kepada kad bayaran baru berasaskan penggunaan nombor pengenalan peribadi (PIN) selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Kemudian, pengguna dinasihatkan segera mengaktifkan kad, memilih nombor PIN dan mula menggunakan kad di terminal pusat jualan yang disediakan peniaga.

 

Sumber: Projek MMO



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

0 Response to "Mesin kiosk Maybank ditendang gara-gara panik lewat tukar kad"

Post a Comment