Beban kenaikan kos sara hidup tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk pasangan yang ingin berkahwin menaikkan nilai hantaran terlalu tinggi, kata Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Jawi dalam teks khutbah solat Jumaat hari ini berkata, walaupun pihaknya sedar kos sara hidup hari ini semakin meningkat, ia bukan alasan bagi umat Islam menyukarkan lagi sesuatu perkahwinan.
“Ingatlah Islam tidak pernah menyusahkan umatnya yang ingin mendirikan rumah tangga. Permudahkanlah apa yang utama dan jauhkanlah apa yang tidak mustahak agar Islam tidak dipandang sebagai agama yang sukar dalam urusan pernikahan,” katanya.
“Marilah kita ikhtiarkan agar urusan pernikahan masyarakat Islam kita lebih mudah dilaksana dan lebih bermakna dengan beberapa tindakan bersama.”
Badan agama negeri itu menyarankan agar nilai hantaran diturunkan dan perlu bijak menguruskan kewangan bagi mengelakkan beban hutang serta pembaziran.
“Alangkah indah jika keluarga pengantin baik lelaki atau perempuan boleh berbincang dan bersepakat menurunkan nilai mahar dan hantaran untuk memberi ketenangan kepada para pengantin untuk melayari bahtera perkahwinan.
“Jauhilah hutang seawal hari pertama perkahwinan dan bermuafakatlah dalam menguruskan kewangan,” katanya.
Katanya kesukaran dalam menguruskan perkahwinan boleh mengundang kepada gejala sosial seperti rogol, buang anak dan melahirkan anak luar nikah.
“Sewajarnya masyarakat Islam di Malaysia tidak membezakan taraf hidup keluarga pasangan pengantin yang boleh menjadi contoh negatif kepada orang lain.
“Apa yang lebih utama ialah lelaki dan perempuan dan agamanya, bukannya setaraf dari segi selera ibu dan bapanya,” katanya.
Sumber: Projek MMO
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Response to "“Jangan jadikan alasan barang naik untuk naikkan hantaran kahwin” – Jawi"
Post a Comment