Pengunjung diminta untuk sentiasa peka dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung fenomena Air Pasang Besar di sekitar pantai Port Dickson.
Jawatankuasa pengurusan bencana daerah Port Dickson, Muhammad Isa Md Onzer berkata, kawasan yang dijangka terlibat dengan air pasang besar adalah yang menjadi tumpuan pengunjung telah dikenalpasti membabitkan empat pantai.
“Pantai Bagan Pinang di Batu 3, Pantai Saujana di Batu 4, Pantai Telok Kemang di Batu 8 dan Pantai Tanjung Biru atau Blue lagoon di Batu 10.
“Fenomena ini dijangkakan berlaku esok hingga Jumaat depan yang menyebabkan ketinggian paras ombak boleh mencapai 2.5m hingga 3.5m,” katanya.
Muhammad Isa yang juga Penolong Pegawai Daerah Port Dickson berkata, justeru itu, pengunjung dinasihatkan peka dengan fenomena Air Pasang Besar dan mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari masa ke semasa.
“Pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) juga akan mengibarkan bendera merah di menara penyelamat pantai sebagai tanda amaran kepada pengunjung supaya tidak melakukan aktiviti di pantai pada masa tersebut.
“Pengunjung-pengunjung dinasihatkan untuk mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pengawal pantai dari semasa ke semasa bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.
Muhammad Isa menambah, pengunjung dan juga nelayan bot kecil diminta supaya mengehadkan aktiviti di pantai untuk memastikan keselamatan terjamin.
Sumber: Sinar Harian
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Response to "Waspada air pasang besar di Port Dickson"
Post a Comment