Jabatan Bomba nafi telefon bimbit yang dicaj punca kebakaran Hospital Sultanah Aminah | Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor hari ini menafikan kebakaran di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, berpunca daripada telefon bimbit dicas seperti didakwa dalam media sosial.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Johor Mohd Rizal Buang berkata, punca sebenar kejadian belum dikenal pasti kerana siasatan kebakaran masih dilakukan.
Jabatan Bomba nafi telefon bimbit yang dicaj punca kebakaran Hospital Sultanah Aminah
Beliau berkata, pasukannya masih menjalankan siasatan dan mengumpul bukti di lokasi kejadian untuk dibawa ke makmal ibu pejabat JBPM negeri selain merekod dan menemubual saksi kejadian.
“Saya sendiri yang mengetuai operasi itu…saksi memberitahu kebakaran berpunca dari bilik rawatan. Bilik rawatan cuma ada peti ais yang menempatkan ubat-ubatan…itu sahaja yang kita nampak di lokasi itu,” katanya di HSA, hari ini.
Mohd Rizal berkata, pihaknya juga menyerahkan kembali kepada HSA untuk tindakan lanjut setelah pemantauan Aras 1, yang ditutup sementara akibat percikan api semalam, didapati tiada bahaya yang boleh menyebabkan kebakaran.
Menurutnya, pasukan bomba sentiasa ditempatkan di HSA ketika operasi pembersihan dijalankan.
Dalam pada itu, Mohd Rizal menyaran semua bangunan, terutama bangunan lama menjalani pemeriksaan tahap keselamatan serta menaik taraf sistem keselamatan.
“Bangunan lama memang kita nasihatkan (diperiksa) kerana boleh mendatangkan masalah. Jika bangunan lama dan dibina mengguna kayu sepenuhnya, itu memang agak risiko,” katanya.
Beliau berkata pihaknya juga sudah menyarankan bangunan lama dinaik taraf menggunakan bahan tidak mudah terbakar serta dipasang sistem keselamatan kebakaran, sama ada sistem pasif atau aktif.
Sumber: Metro
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Response to "Jabatan Bomba nafi telefon bimbit yang dicaj punca kebakaran Hospital Sultanah Aminah"
Post a Comment