Jika sebelum ini tugas sebagai anggota bomba membuatkan Amran Yusof, 48, dianggap hero dan penyelamat tetapi keadaan itu berubah dalam sekelip mata apabila dia diserang penyakit kronik.

Isteri terpaksa potong jari suami

Isteri terpaksa potong jari suami

Bapa kepada tiga anak itu disahkan menghidap ‘Secondary Digital Gangrene’ menyebabkannya hilang keupayaan tertentu dan paling pahit untuk diterima dia terpaksa melepaskan kerjaya yang amat diminati itu.

Pada awalnya lelaki itu hanya mengalami demam dan terkena jangkitan kuman pada paru-paru sehingga terpaksa dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Isterinya, Alina Daud, 44, berkata, dia tidak menyangka kehidupan mereka sekeluarga akan berubah apabila suaminya diserang demam panas pada September tahun lalu.

Menurutnya, kejadian berlaku secara tiba-tiba dan ketika demam suaminya masih lagi menjalankan tugas sebagai bomba.

“Dia ke klinik kerana demam dan disahkan terdapat jangkitan kuman pada paru-paru.

“Selepas itu dia tidak sedarkan diri dan dirawat di ICU dan ketika itulah dikesan berlaku tekanan darah rendah serta kencing manis,” katanya.

Alina yang juga suri rumah sepenuh masa berkata, dia terpaksa menjadi manusia kuat dan berani apabila berdepan dengan penyakit suaminya, malah memberanikan diri menggunting sendiri jari-jemari suami yang mulai mereput dan mengecut.

“Selepas 16 hari dimasukkan ke ICU, keadaan jari-jemari suami menjadi hitam, mengecut dan mengecil. Ia membuatkan jari suami mulai mereput dan ada yang tergantung serta mengecut saya potong sendiri.

“Kalau ikutkan saya seorang yang takutkan darah tetapi menjadi berani apabila suami sendiri mengalaminya. Semua jari-jari kaki dan tangan yang memburuk serta sudah tidak berfungsi saya perkemaskan,” katanya.

Menurutnya, penyakit dialami juga membuatkan suami tidak dapat bertutur dengan baik dan buat masa sekarang tidak boleh berjalan.

“Sekarang dia berkerusi roda tetapi mulai belajar untuk menguruskan diri termasuk mampu menyuap makan sendiri dan buang air di dalam bekas disediakan,” katanya.

Katanya, satu kenyataan yang amat menyedihkan bagi suami apabila terpaksa bersara awal kerana penyakit dihidapi.

“Selepas keluar ICU sehingga sekarang, suami masih lagi diberikan cuti sakit dan gaji berjalan seperti biasa.

“Kalau ikutkan dia rindu sangat tugas sebagai anggota bomba dan sudah berkhidmat selama 18 tahun, malah uniform kerja yang dipakai pada hari terakhir bekerja masih tergantung kemas dalam bilik,” katanya.

Ditanya mengenai perbelanjaan harian keluarga ini, Alina menjelaskan, mereka membelanjakan hampir RM1,000 sebulan untuk membeli makanan tambahan bagi melancarkan perjalanan darah dan pertumbuhan sel.

“Kalau ikutkan memang tidak mampu ditambah pula dengan sewa rumah sekarang sebanyak RM600 sebulan dan keperluan tiga anak berusia 11 hingga 22 tahun. Dua daripadanya masih bersekolah, manakala seorang lagi baru satamat pengajian di universiti.

“Kami sekeluarga amat berterima kasih kepada pihak bomba yang banyak membantu, wakil rakyat dan semua yang memberi perhatian,” katanya.

 

Rumah baharu untuk Amran sekeluarga

Bagaimanapun, kesulitan dialami Amran yang juga anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Dungun mendapat perhatian dari pelbagai pihak.

Sebuah rumah menerusi program strategi lautan biru kebangsaan (NBOS 7) kini sedang dibina untuk keluarga ini bertempat di Kampung Padang Lalang, Bukit Besi dan majlis pelancarannya berlangsung, di sini, semalam.

Projek pembinaan rumah itu hasil kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu dengan kerjasama Pusat Khidmat Dun Bukit Besi serta pelbagai lagi agensi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Roslee Daud berkata, sebanyak RM40,000 diperuntukkan untuk kerja pembinaan rumah keluarga Amran.

“Dimaklumkan Amran menghidapi penyakit yang sudah tidak boleh dikawal dan sukar diubati.

“Difahamkan juga dia masih menyewa dan sekarang jabatan bomba, agensi-agensi lain, badan bukan kerajaan (NGO), pimpinan masyarakat setempat berada di tapak ini untuk membantunya.

“Dijangkakan rumah yang dibina dengan konsep gotong-royong akan siap dalam tempoh sebulan,” katanya.

 

Salur RM220,000 bina, baik pulih rumah

Sementara itu, Pengarah JBPM Terengganu, Azlimin Mat Noor berkata, sepanjang 2016 sebanyak RM220,000 diperuntukkan untuk membina dan membaik pulih rumah di bawah program NBOS.

“Sepanjang tahun ini tiga rumah baharu dibina untuk golongan berkelayakan tidak termasuk rumah Amran yang menerima peruntukan dari kerajaan negeri.

“Setiap rumah dibina menelan kos RM40,000, manakala RM10,000 untuk setiap rumah yang dibaik pulih. Setakat ini melibatkan 10 rumah dan semuanya menerusi peruntukan di bawah KKLW,” katanya.

Katanya, bermula 2012 sehingga sekarang, sebanyak 15 rumah baharu dibina menerusi program NBOS di negeri ini dan usaha itu akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk manfaat golongan kurang bernasib baik.

“Kita berterima kasih kepada pihak wakil rakyat yang banyak membantu projek pembinaan rumah Amran dan kepada semua pihak terlibat.

“Memandangkan penyakit dihidapi agak kritikal, pihak JBPM terpaksa mengambil keputusan persaraan awal untuk anggota ini dan dengan pembinaan rumah ini dapat memberi keselesaan serta mengurangkan beban keluarga ini,” katanya.