Rozana - "Awie Boleh Kahwin Lain,Saya Tidak Mahu Dikaitkan Sebagai Isteri Dia Dalam Apa Juga Kenyataan"
$%"Buat sekian kalinya saya tegaskan saya bukan lagi isteri dia (Awie), saya hendak jelaskan hal ini dan dia boleh nikah lain," demikian kata Rozana Misbun sambil menunjukkan surat pengesahan perceraian secara fasakh yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla, Thailand pada 1 Disember 2014.
Surat tersebut ditandatangani dan mempunyai cop pengesahan Timbalan Yang Dipertua majlis tersebut dan turut disahkan penerimaannya oleh Konsulat Jeneral Malaysia Songkhla.
"Saya tidak mahu dikaitkan sebagai isteri dia dalam apa juga kenyataan melibatkan isu kami kerana kami telah bercerai secara fasakh di Thailand pada 1 Disember tahun lalu," tambahnya kepada media di lobi kompleks Mahkamah Syariah Kuala Lumpur semalam.
Rozana berkata begitu kerana statusnya sebagai bekas isteri penyanyi rock itu telah diketahui oleh banyak pihak namun dia masih dirujuk sebagai isteri penyanyi itu kerana tiada pengesahan dibuat oleh Awie mengenai status perkahwinan mereka di negara ini.
Berdasarkan surat tersebut, permohonan cerai secara fasakh yang dibuat Rozana dibenarkan majlis itu bagi mengelak kemudaratan besar kepada wanita berkenaan dengan mengambil kira surat perintah perlindungan yang dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya kepada Rozana.
Surat itu turut menyebut pernikahan antara Rozana dan Awie, atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 47, mengikut surat nikah yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla itu pada 20 Jun 2005 difasakh oleh majlis berkenaan demi menahan kemudaratan terhadap Rozana.
Dalam permohonan perceraian itu, Rozana turut melampirkan gambar-gambar kecederaan dialaminya yang didakwa dipukul oleh Awie dan kes itu kini di peringkat perbicaraan di Mahkamah Majistret Ampang dekat sini.
Rozana juga berkata, keengganan Awie untuk mendaftar pernikahan mereka itu telah menimbulkan pelbagai kesulitan terutama melibatkan kebajikan anak-anak mereka.
Walau bagaimanapun dia nekad untuk memfailkan permohonan nafkah bagi anak-anaknya sejajar syariat Islam berikutan tindakan Awie yang tidak membayar sebarang nafkah terhadap dua anaknya sejak mereka diserahkan kepadanya pada Februari lalu.
Jelas wanita itu, Awie tidak perlu mempertikaikan kemampuannya untuk menjaga anak-anak mereka sebaliknya menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan perkara tersebut.
"Kalau dia tak nak bagi (nafkah anak) saya reda, tetapi dia jawablah di akhirat nanti," tegas Rozana.
Pada 27 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini memerintahkan hak penjagaan sementara tiga anak pasangan itu iaitu Putra Ahmad Merrah, 8, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5, diserahkan kepada Rozana sementara menunggu perintah kekal hak penjagaan dikeluarkan mahkamah.
Sumber: Utusan
0 Response to "Rozana - "Awie Boleh Kahwin Lain,Saya Tidak Mahu Dikaitkan Sebagai Isteri Dia Dalam Apa Juga Kenyataan""
Post a Comment